DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIH
Sekarang ni kita berada di akhir bulan April dan tidak lama lagi kita akan memasuki bulan Mei. Pada bulan mei ini lah, masa yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia di mana Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan diadakan. Justeru, pada masa ini calon-calon yang akan bertanding sedang bergiat aktif untuk menyampaikan manifesto mereka untuk mendapatkan sokongan pengundi. Bagi pelajar yang berada di universiti, mungkin ada yang sedang mengambil peperiksaan semester untuk melanjutkan pelajaran bagi semester yang seterusnya manakala pelajar matrikulasi pula sedang berhempas pulas untuk peperiksaan akhir yang akan menentukan hala tuju mereka selepas menamatkan pengajian di matrikulasi. Pelajar sekolah pula sedaya upaya memahami pelajaran yang dipelajari bagi mendapatkan keputusan peperiksaan yang terbaik untuk memuaskan hati ibubapa mereka terutama sekali pelajar yang bakal mengambil UPSR, PMR dan SPM pada tahun ini.DI MANAKAH KITA??
Jadi, persoalannya adalah di mana kah kita sekarang ini? adakah kita termasuk dalam kalangan orang yang sedang berusaha? ataupun adakah kita sedang memasang angan-angan sambil bergoyang kaki? ataupun kita sedang bermimpi sesuatu yang tidak mungkin akan terjadi? Berada di alam fantasi mungkin? Mari kita semak semula setakat mana usaha kita dan apa yang telah kita capai setakat ini. Jika kita seorang pelajar yang beriman, bagaimanakah hubungan kita dengan Allah? Adakah kita sudah menunaikan perintah ALLAH? Tahajud, mathurat, bacaan AL-QUR'AN kita bagaimana? adakah kita melakukan tahajud setiap hari? sudahkah kita membaca al-Qur'an lebih daripada satu juz dalam satu minggu? Dan bagaimanakah solat berjemaah kita di masjid mahupun di surau terutama sekali pada waktu subuh dan waktu isyak? Adakah kita sudah menunaikan amanat yang diberikan oleh ibu bapa kita?Cuba ingat kembali saat ibubapa kita menghantar kita ke ipt ataupun ke sekolah. Sebelum mereka melepaskan kita untuk menuntut ilmu, mereka mesti memberikan nasihat kepada diri kita agar belajar bersungguh-sungguh supaya menjadi orang yang Berjaya. Tidak ada ibubapa mahupun ahli keluarga yang mahu melihat kegagalan seseorang yang mereka sayangi. Jadi sebenarnya kita sedang menggalas amanat yang besar iaitu amanat ibubapa kita. Sebagai seorang pelajar, kita tidak boleh mengkhianati amanat yang telah diberikan oleh ibubapa kerana apabila kita mengkhianati amanat ibubapa kita, maka ibubapa kita akan merasa kecewa dan seterusnya menyebabkan kita menjadi anak yang derhaka. Allah SWT ada berfirman di dalam surah Al-Anfal, surah ke-8, ayat yg ke 27:
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui."
Amanat seorang pelajar ialah belajar bersungguh-sungguh. Maka apabila kita tidak belajar bersungguh-sungguh serta mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan, sesungguhnya kita telah mengkhianati amanat yang diberikan. Rata-rata di sekolah ataupun di universiti, kita dapat lihat bangsa lain yang menduduki carta teratas ataupun dipanggil 'dean list' di universiti. Tidakkah tergerak di hati kita untuk berjaya seperti mereka juga dan akhirnya mengembalikan kegemilangan islam seperti zaman para sahabat dahulu?
SEDARLAH!
Sedarlah bahawa kita ini merupakan umat terbaik dan sepatutnya kita lah yang menjadi contoh pada bangsa yang lain. Firman ALLAH SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat ke 110:
"Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia.."
Apakah kita mengira bahawa kita akan menjadi umat terbaik yang terbaik tanpa berbuat apa-apa? Justeru, bagaimana Islam boleh tersebar luas hingga dua per tiga dunia? Adakah Islam tersebar dengan sendirinya sehingga kita dapat merasai nikmat Islam pada hari ini? Sudah semestinya tidak. Islam tersebar dengan usaha Baginda Rasulullah SALLAHI ALAIHI WASSALAM dan seterusnya dengan usaha para sahabat, para tabi' tabiinn dan para alim ulama. Rasulullah SAW tetap berdakwah kepada kaum kerabatnya dan seluruh masyarakat walaupun ditentang oleh bapa saudaranya sendiri iaitu Abu Jahal.
Daripada kisah Rasulullah SAW, dapat kita simpulkan bahawa usaha itu penting dalam menuju matlamat yang ingin kita capai. Oleh itu, jika kita ingin menjadi umat yang terbaik, maka kita sepatutnya berusaha. Jika kita ingin menjadi pelajar yang berjaya, maka kita juga perlu berusaha. Jika kita ingin melihat orang lain menerima Islam, maka kita harus berusaha.
Jadi, mengapa usaha kita amat ditekankan jika kita ingin mendapatkan sesuatu yang kita hajati?
Kerana Allah SWT berfirman dalam Surah An Najm, ayat yang ke 39 yang bermaksud:
"Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.."Jelaslah bahawa usaha itu amat penting dalam hidup kita kerana jika kita tidak berusaha, kita tidak akan memperoleh apa-apa.
No comments:
Post a Comment