Sunday, 28 April 2013

MASIH BELUM TERLAMBAT..( BHG II )

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih

Bagi sesiapa yang merasakan tiada harapan lagi, ingatlah bahawa Allah SWT sentiasa bersama  dengan hambanya. Allah SWT tidak pernah mengecewakan hambanya yang selalu memohon kepadaNya. Apatah lagi jika kita ni menolong agama Allah dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi. Hal ini jelas  di dalam Al-Qur'an dalam Surah Al-Baqarah, ayat ke-186 yang bermaksud:
"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu Muhammad tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kapabila dia berdoa kepada-Ku.Hendaklah mereka memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku, agar mereka mempeeroleh kebenaran." 
  Sebagai seorang yang bergelar mukmin, kita tidak boleh berasa lemah kerana apabila kita berasa lemah maka syaitan akan mula mengatur langkah untuk menarik diri kita untuk mula jauh daripada Allah. Ya memang benar bahawa ada saatnya kita berasa lemah tetapi jangan jadikan kelemahan kita iu untuk kita terus tidak berdiam diri dan terus kecundang. Bahkan Allah SWT ada berfirman di dalam Surah Ali-Imran, ayat yang ke 139 yang bermaksud, "Janganlah kamu merasa lemah dan jangan pula bersedih hati sebab kamu paling tinggi derajatnya, jika kamu orang beriman." Jadi, janganlah merasa sedih andai kita sering gagal dalam kehidupan kita ataupun sering ditimpa kesusahan kerana kekadang kesusahan itu merupakan ujian daripada Allah SWT untuk menguji kita tahap keimanan kita. Firman Allah SWT dalam surah Al-Ankabut, ayat yang ke-2 yang bermaksud:
"Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan ,"Kami telah beriman" dan mereka tidak diuji"
Jadi apabila berasa lemah carilah sahabat mahupun teman yang boleh berkongsi masalah dengan kita ataupun  dan boleh membimbing kita di atas jalan yang benar ataupun carilah lingkungan yang baik dan mohonlah kepada Allah SWT supaya ujian yang diberikan kepada kita diringankan sedikit.

MASIH BELUM TERLAMBAT UNTUK BUAT PERUBAHAN....

Detik waktu terus berlalu, semua berakhir padamu... pernah dengar lagu ni? Lagu ni adalah lagu rapuh yang dinyanyikan oleh penyanyi Opick. Jadi, apa yang dinyanyikan itu betul bahawa masa akan tetap berlalu meninggalkan kita dan akhir sekali kita semua akan mati dan akan dibangkitkan pada hari kiamat kelak. Maka sebelum  nyawa kita dicabut, masih ada masa untuk kita membuat perubahan. Jika kita mendapat keputusan yang teruk, ini bukanlah bermakna kita akan jatuh selama-lamanya dan bukan juga bermakna ini adalah pengakhiran cerita kita. Sebaliknya, keputusan ataupun ujian yang kita terima itu sepatutnya dijadikan pembakar semangat kita untuk lebih berusaha dan juga dijadikan satu titik 'turning point' untuk kita berubah ke arah yang lebih baik. Jika sebelum ini kita merupakan seorang yang malas, maka berubahlah menjadi seorang yang rajin. Jika sebelum ini kita seorang yang suka menangguhkan kerja, maka berubahlah menjadi seorang yang suka menyiapkan kerja pada awal waktu. Pendek kata, jika sebelum ini kita seorang yang buruk akhlak ataupun buruk sifat, maka berubahlah menjadi seorang yang baik akhlak. Cukuplah dengan sejarah silam yang kita lakukan. Insaflah dan bertaubatlah..

Bukan susah nak buat perubahan, cuma perlukan sedikit pengorbanan dan sepenuh kemahuan unntuk melakukannya. Walaupun perubahan yang kita lakukan itu sedikit demi sedikit, namun pada akhirnya ia akan membawa satu perubahan yang besar pada diri kita.Semoga perubahan yang kita lakukan ini dapat memberikan manfaat kepada diri kita dan akhir sekali menjadikan diri kita seorang  hamba Allah yang taat akan perintahNya. In shaa Allah. Sebelum saya mengakhiri penulisan ini, ingin saya kongsikan sebuah hadis yang bermaksud:

"Hanyasanya semua amal perbuatan itu dengan disertai niat-niatnya dan hanyasanya bagi
setiap orang itu apa yang telah menjadi niatnya. Maka barangsiapa yang hijrahnya itu kepada Allah
dan RasulNya, maka hijrahnya itupun kepada Allah dan RasulNya. Dan barangsiapa yang hijrahnya
itu untuk harta dunia yang hendak diperolehinya, ataupun untuk seorang wanita yang hendak
dikawininya, maka hijrahnyapun kepada sesuatu yang dimaksud dalam hijrahnya itu."

Friday, 26 April 2013

MASIH BELUM TERLAMBAT....

DENGAN NAMA ALLAH YANG MAHA PEMURAH LAGI MAHA PENGASIH

Sekarang ni kita berada di akhir bulan April dan tidak lama lagi kita akan memasuki bulan Mei. Pada bulan mei ini lah, masa yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia di mana Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) akan diadakan. Justeru, pada masa ini calon-calon yang akan bertanding sedang bergiat aktif untuk menyampaikan manifesto mereka untuk mendapatkan sokongan pengundi. Bagi pelajar yang berada di universiti, mungkin ada yang sedang mengambil peperiksaan semester untuk melanjutkan pelajaran bagi semester yang seterusnya manakala pelajar matrikulasi pula sedang berhempas pulas untuk peperiksaan akhir yang akan menentukan hala tuju mereka selepas menamatkan pengajian di matrikulasi. Pelajar sekolah pula sedaya upaya memahami pelajaran yang dipelajari bagi mendapatkan keputusan peperiksaan yang terbaik untuk memuaskan hati ibubapa mereka terutama sekali pelajar yang bakal mengambil UPSR, PMR dan SPM pada tahun ini.

DI MANAKAH KITA??

Jadi, persoalannya adalah di mana kah kita sekarang ini? adakah kita termasuk dalam kalangan orang yang sedang berusaha? ataupun adakah kita sedang memasang angan-angan sambil bergoyang kaki? ataupun kita sedang bermimpi sesuatu yang tidak mungkin akan terjadi? Berada di alam fantasi mungkin? Mari kita semak semula setakat mana usaha kita dan apa yang telah kita capai setakat ini. Jika kita seorang pelajar  yang beriman, bagaimanakah hubungan kita dengan Allah? Adakah kita sudah menunaikan perintah ALLAH? Tahajud, mathurat, bacaan AL-QUR'AN kita bagaimana? adakah kita melakukan tahajud setiap hari? sudahkah kita membaca al-Qur'an lebih daripada satu juz dalam satu  minggu? Dan bagaimanakah solat berjemaah kita di masjid mahupun di surau terutama sekali pada waktu subuh dan waktu isyak? Adakah kita sudah menunaikan amanat yang diberikan oleh ibu bapa kita?


Cuba ingat kembali saat ibubapa kita menghantar kita ke ipt ataupun ke sekolah. Sebelum mereka melepaskan kita untuk menuntut ilmu, mereka mesti memberikan nasihat kepada diri kita agar belajar bersungguh-sungguh supaya menjadi orang yang Berjaya.  Tidak ada ibubapa mahupun ahli keluarga yang mahu melihat kegagalan seseorang yang mereka sayangi. Jadi sebenarnya kita sedang menggalas amanat yang besar iaitu amanat ibubapa kita. Sebagai seorang pelajar, kita tidak boleh mengkhianati amanat yang telah diberikan oleh ibubapa kerana apabila kita mengkhianati amanat ibubapa kita, maka ibubapa kita akan merasa kecewa dan seterusnya menyebabkan kita menjadi anak yang derhaka. Allah SWT ada berfirman di dalam surah Al-Anfal, surah ke-8, ayat yg ke 27:

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui."
 

Amanat seorang pelajar ialah belajar bersungguh-sungguh. Maka apabila kita tidak belajar bersungguh-sungguh serta mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan, sesungguhnya kita telah mengkhianati amanat yang diberikan. Rata-rata di sekolah ataupun di universiti, kita dapat lihat bangsa lain yang menduduki carta teratas ataupun dipanggil 'dean list' di universiti. Tidakkah tergerak di hati kita untuk berjaya seperti mereka juga dan akhirnya mengembalikan kegemilangan islam seperti zaman para sahabat dahulu?

SEDARLAH!
Sedarlah bahawa kita ini merupakan umat terbaik dan sepatutnya kita lah yang menjadi contoh pada bangsa yang lain. Firman ALLAH SWT dalam Surah Ali-Imran, ayat ke 110:

"Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia.."

Apakah kita mengira bahawa kita akan menjadi umat terbaik yang terbaik tanpa berbuat apa-apa? Justeru, bagaimana Islam boleh tersebar luas hingga dua per tiga dunia? Adakah Islam tersebar dengan sendirinya sehingga kita dapat merasai nikmat Islam pada hari ini? Sudah semestinya tidak. Islam tersebar dengan usaha Baginda Rasulullah SALLAHI ALAIHI WASSALAM dan seterusnya dengan usaha para sahabat, para tabi' tabiinn dan para alim ulama. Rasulullah SAW tetap berdakwah kepada kaum kerabatnya dan seluruh masyarakat walaupun ditentang oleh bapa saudaranya sendiri iaitu Abu Jahal.

Daripada kisah Rasulullah SAW, dapat kita simpulkan bahawa usaha itu penting dalam menuju matlamat yang ingin kita capai. Oleh itu, jika kita ingin menjadi umat yang terbaik, maka kita sepatutnya berusaha. Jika kita ingin menjadi pelajar yang berjaya, maka kita juga perlu berusaha. Jika kita ingin melihat orang lain menerima Islam, maka kita harus berusaha.

Jadi, mengapa usaha kita amat ditekankan jika kita ingin mendapatkan sesuatu yang kita hajati?
Kerana Allah SWT berfirman dalam Surah An Najm, ayat yang ke 39 yang bermaksud:

"Dan bahawa manusia hanya memperoleh apa yang telah diusahakannya.." 
Jelaslah bahawa usaha itu amat penting dalam hidup kita kerana jika kita tidak berusaha, kita tidak akan memperoleh apa-apa.